Sunday, October 30, 2011

Kesilapan Dalam Pengurusan Kewangan


JIKA anda bercadang mengukuhkan kedudukan kewangan, anda mesti mengenal pasti terlebih dulu kesilapan pengurusan kewangan yang lazim dilakukan supaya anda dapat belajar daripadanya.

Gagal Merancang

Alasan yang selalu diberikan oleh mereka yang tidak merancang kewangan ialah "Saya sibuk dengan kerja dan keluarga hingga tidak sempat untuk menguruskan kewangan saya". Sebenarnya, walaupun anda hanya tergolong dalam golongan berpendapatan sederhana, tabiat `merancang kewangan' akan membolehkan anda menjadi seorang berjaya mengumpul kekayaan di kemudian hari kelak.

Berbelanja Melebihi Kemampuan


Dewasa ini, kita sering berbelanja melebihi kemampuan akibat desakan rakan dan juga iklan di sekeliling kita. Ramai yang sanggup menghabiskan wang semata-mata untuk mengikut arus peredaran masa dan tidak mahu dianggap ketinggalan zaman. Akibatnya, ramai yang hanya mempunyai baki yang amat sedikit dalam akaun bank di hujung bulan selepas ditolak bayaran pelbagai pinjaman, kad kredit, bil dan sebagainya.
Berbelanja Menggunakan Kad Kredit

Tabiat beli dulu dan bayar kemudian adalah perkara biasa dewasa ini. Hampir setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya satu kad kredit. Malah, ramai yang memiliki lebih daripada satu kad. Dengan bayaran minimum setiap bulan, ramai yang akan berpotensi untuk terus berbelanja. Mereka tersalah anggap mengenai bayaran minimum terbabit, dan tidak menyedari bahawa lama kelamaan ia akan menjadi hutang yang menggunung di kemudian hari.

Jika tersilap langkah, tidak mustahil anda juga boleh menjadi muflis akibat tabiat sedemikian. Justeru, pastikan anda menggunakan kad kredit secara berhemat.

Lewat Menabung Untuk Hari Tua

Untuk memulakan persaraan, kita mesti memastikan yang kita mempunyai wang mencukupi bagi menampung gaya hidup yang diinginkan selepas bersara. Bagaimanapun, masih ramai terutama mereka yang sudah hampir bersara, masih bergelut untuk mencapai jumlah simpanan diperlukan. Sepatutnya, setiap kali gaji naik, simpanan kita turut naik. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah setiap kali gaji naik, perbelanjaan pula yang bertambah.

Melabur dalam Produk yang Tidak Bersesuaian

Terdapat pelbagai produk pelaburan di pasaran. Untuk memastikan kita melabur dalam produk pelaburan yang menepati profil risiko dan ganjaran yang diinginkan, kita memerlukan ilmu pengetahuan mengenai selok-belok pelaburan. Justeru, pastikan anda meneliti ciri sesuatu produk pelaburan berkenaan dan mengkaji kumpulan pengurusannya sebelum melabur.


Tidak Menabung untuk Waktu Kecemasan

Sesetengah orang beranggapan yang membeli insurans adalah perbuatan membazir wang. Tetapi tahukah anda bahawa tanpa insurans, kedudukan kewangan kita akan tergugat terutama jika kita hilang pendapatan/pekerjaan. Tanpa insurans atau wang simpanan, seluruh keluarga akan merana dan ketika itu juga agak terlambat untuk memikirkan bagaimana ingin mencari sumber pendapatan yang lain dengan kadar segera.

Terlampau Memikirkan Pasal Wang

Dalam usaha memupuk tabiat merancang kewangan, janganlah pula terlampau taksub mengumpul kekayaan sehingga lupa akan perkara lain yang amat bermakna dalam hidup kita seperti keluarga, kesihatan, kepuasan berkarier serta rakan dan taulan.

Akhir sekali, kita perlu sentiasa mengingatkan diri mengenai kepentingan merancang kewangan. Jika kita tidak bersungguh-sungguh dalam membina kekayaan dan menguruskan kewangan, besar kemungkinan kekayaan tidak akan berpihak kepada kita.
Sumber: Securities Industry Development Corporation (SIDC)  
              http://www.min.com.my/

Tuesday, August 16, 2011

Zakat Emas & Perak

Kadar Zakat Emas & Perak

SYARAT-SYARAT WAJIB ZAKAT EMAS & PERAK

1. Islam
2. Sempurna milik.
3. Merdeka
4. Memiliki tidak kurang daripada satu Tahun.
5. Cukup nisab. Nisab Emas ialah 20 misqal iaitu bersamaan 25 mayam 2.7108 saga. Nisab Perak ialah 200 dirham bersamaan 176 mayam 6.9732 saga.

P/S: Catatan
Emas atau Perak yang dijadikan barang-barang kemas (perhiasan perempuan) tidak diwajibkan zakat kecuali barangan tersebut berlebihan daripada yang sepatutnya.

Emas
Nisab emas ialah seberat 20 Miskal iaitu bersamaan 25 mayam 2.7108 saga emas ataupun bersamaan 85 gram menyamai atau lebih atau bersamaan 20 Dinar Emas. Kadar zakat emas yang cukup nisabnya ialah 2.5% dari jumlah keseluruhan.

1) Zakat Emas yang disimpan ( emas yang tidak dipakai walaupun sekali dalam setahun )


*Contoh Pengiraan

Anda mempunyai 100 gram emas. Harga terkini emas RM140/gram.
Jumlah zakat yang wajib dikeluarkan = 2.5% X RM14 000 = RM350


2) Zakat Emas yang dipakai

Zakat emas yang dipakai ( sebagai perhiasan) yang dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat. Tetapi jika beratnya melebihi "uruf" ( nilai kebiasaan pemakaian masyarakat setempat ) maka wajib dikeluarkan zakat dengan kadar 2.5% selepas berat emas ditolak dengan nilai uruf. Hanya berat emas sahaja yang dikira.

3) Kadar Uruf Negeri-negeri di Malaysia

1 Kedah 170 gram .Lebihan daripada uruf dikenakan zakat Telah difatwakan

2 Perlis 170 gram . Lebihan daripada uruf dikenakan zakat Telah difatwakan

3 Pulau Pinang 165 gram . Lebihan daripada uruf dikenakan zakat Telah difatwakan

4 Melaka RM 5,000 . Lebihan daripada uruf dikenakan zakat Telah difatwakan

5 Johor 850 gram .Lebihan daripada uruf dikenakan zakat Telah difatwakan

6 Negeri Sembilan 850 gram (lama) 200 gram (baru) Lebihan daripada uruf dikenakan zakat. Belum difatwakan bagi kadar ( uruf ) baru

7 Selangor 800 gram. Telah difatwakan

8 Wilayah 150 gram . Lebihan daripada uruf dikenakan zakat Telah difatwakan

9. Kelantan Tiada uruf

10. Terengganu 150 gram . Fatwa Terengganu 850 gram tetapi amalan yang digunapakai 150 gram. Akan dibuat kajian baru

11. Pahang 200 gram . Lebihan daripada uruf dikenakan zakat Tiada fatwa

12. Perak 500 gram . Zakat atas keseluruhan Telah difatwakan

13. Sabah RM 5,000 .Lebihan daripada uruf dikenakan zakat .Telah difatwakan

14. Sarawak 775 gram .Lebihan daripada uruf dikenakan zakat .Telah difatwakan

Sumber : Zakat Pahang

* contoh pengiraan emas perhiasan

Berat emas yang dipakai : 350 gram. Tinggal di Pulau Pinang dan uruf mengikut negeri pemastautin ( Kadar uruf Negeri Pulau Pinang ialah 165gram)

Berat emas yang perlu dikeluarkan zakat : 350g - 165g = 185gram
185 gram X Harga emas semasa ( RM140) X 2.5% = RM647.50


Perak

Nisab bagi perak ialah bersamaan 200 Dirham Perak bersamaan 176 mayam 6.9732 saga perak bersamaan 595 gram. Kadar zakat perak yang cukup nisabnya ialah 2.5% dari jumlah keseluruhan.